Headnote
Abstrak: Aktiviti berbelanja di bandar menjadi semakin mencabar kerana kos sara hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan pilihan gaya hidup mengikut kemampuan dan kehendak setiap individu. Keadaan ini seterusnya membuatkan belia di bandar perlu memilih sama ada hendak menjalani gaya hidup berjimat, bergaya atau sekadar kelangsungan hidup. Objektif utama kajian adalah mengenalpasti gaya hidup belia bandar. Selain itu, kajian juga menganalisis perbandingan gaya hidup belia bandar dengan beberapa demografi terpilih. Gaya hidup dalam kajian ini dikelaskan kepada tiga kategori, iaitu berjimat, bergaya dan kelangsungan hidup. Pendekatan kuantitatif diaplikasikan dengan menggunakan kaedah persampelan bertujuan. Sampel kajian adalah golongan belia yang menetap di bandar Kajang yang berumur 18 hingga 40 tahun. Borang soal selidik digunakan sebagai instrumen pengutipan data. Kajian berjaya mendapatkan seramai 131 belia sebagai responden. Analisis data secara deskriptif digunakan bagi menjelaskan keseluruhan hasil kajian. Hasil kajian mendapati bahawa belia bandar lebih mementingkan gaya hidup berjimat dan kelangsungan hidup berbanding gaya hidup bergaya yang mengikut trend semasa. Hal ini menunjukkan belia bandar mempunyai kesedaran dalam menguruskan kewangan mengikut tahap pendapatan dan kemampuan mereka. Hasil kajian turut mendapati terdapat perbezaan gaya hidup belia bandar berbanding gender, umur, status perkahwinan dan tahap pendapatan. Implikasi kajian menyarankan agar belia bandar mengamalkan dan mengekalkan gaya hidup berjimat demi kelangsungan hidup dan kesejahteraan dalam tempoh jangka masa panjang.
Kata kunci: gaya hidup; berjimat, bergaya; kelangsungan hidup; belia bandar
Abstract: Shopping activities in the city are becoming increasingly challenging due to the increasing cost of living over time. This indirectly creates lifestyle choices according to the ability and wishes of each individual. This situation further makes the youth in the city have to choose whether to live a thrifty, stylish lifestyle or just survive. The main objective of the study was to identify the lifestyles of urban youth. In addition, the study also analysed the lifestyle comparisons of urban youth with some selected demographics. Lifestyles in this study are classified into three categories, namely frugality, fashion, and survival. A quantitative approach is applied using a purposive sampling method. The sample of the study is the youth living in Kajang aged 18 to 40 years. Questionnaires were used as data collection instruments. The study managed to get a total of 131 youths as respondents. Descriptive data analysis was used to explain the overall results of the study. The re- sults of the study found that urban youths are more concerned with a frugal lifestyle and survival compared to a fashionable lifestyle that follows current trends. This shows that urban youths have an awareness of managing finances according to their income level and ability. The study also found that there are differences in the lifestyles of urban youths compared to gender, age, marital status, and income level. The implications of the study suggest that urban youth adopt and maintain a frugal lifestyle for survival and well-being in the long term. The implications of the study suggest that urban youth adopt and maintain a frugal lifestyle for survival and well-being in the long term.
Keywords: lifestyle; frugality; fashion; survival; urban youth
Pendahuluan
Kos sara hidup di bandar merupakan isu utama yang sering dibincangkan oleh pelbagai pihak, baik daripada kalangan rakyat ataupun kerajaan. Malaysia (2015) telah mengelaskan negeri-negeri di Malaysia kepada tiga tahap pembandaran, iaitu pembandaran tinggi, sederhana dan rendah. Negeri-negeri yang mengalami proses pembandaran tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka dan Johor menunjukkan kecenderungan untuk mengalami kadar kenaikan kos sara hidup pada kadar yang lebih tinggi berbanding negeri lain. Akibatnya golongan berpendapatan antara 20% hingga 40% terendah akan paling terkesan berbanding golongan berpendapatan tinggi.
Golongan belia pertengahan berumur antara 25 hingga 44 tahun didapati telah menyumbang 58.9 peratus daripada keseluruhan kes kebankrapan yang telah direkodkan (Malaysia 2018). Kebankrapan dalam kalangan belia berpunca daripada sewabeli kenderaan, pinjaman perumahan, peribadi, perniagaan, penjamin sosial dan korporat, hutang kad kredit, cukai pendapatan, biasiswa atau pinjaman pelaburan, dan keberhutangan yang lain (Malaysia 2018). Gaya hidup di luar kemampuan juga sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan golongan muda ini. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan. Begitu juga terdapat segelintir golongan muda yang baru memulakan pekerjaan menghadapi masalah untuk menyimpan wang. Ini disebabkan mereka di antara golongan muda yang dikenalpasti antara golongan yang boros berbelanja jauh daripada kemampuan kewangan mereka sebenar. Malah ada juga yang suka membuat hutang baru walaupun hutang yang lama masih belum diselesaikan. Manakala terdapat segelintirnya juga berhutang semata-mata untuk mendapatkan modal perniagaan skim cepat kaya, yang akhirnya memakan diri sendiri.
Perbelanjaan yang berlebihan serta tidak terkawal merupakan salah satu indikator terpenting yang menyumbang kepada trend keberhutangan yang tidak dapat dikawal ini. Keinginan untuk mendapatkan kehidupan mewah secara tidak langsung memberi tekanan kepada hidup belia. Hal ini demikian kerana, individu menjadi semakin materialistic dan perkara ini mewujudkan standard kehidupan yang perlu diikuti dengan pembelian barang berjenama dan terkini, kediaman yang lebih besar serta kereta yang berjenama (Diana-Rose & Zariyawati 2015). Tekanan untuk mendapatkan kehidupan yang mewah memaksa belia untuk membuat pinjaman dengan bank atau institusi kewangan yang lain. Pemilikan barangan mewah kini sudah dianggap sebagai suatu keperluan kerana belia ingin meningkatkan taraf gaya hidup mereka seiring dengan ingin mendapatkan penghargaan yang lebih mendalam dalam komuniti mereka yang tersendiri (Naz & Lohdi 2016). Selain itu, perbelanjaan harian akan lebih rencam dengan adanya barangan dan perkhidmatan yang tersedia untuk memenuhi keperluan tiap lapisan masyarakat sama ada berdasarkan tingkat umur, jenis kaum, gender, dan juga kumpulan pendapatan. Kepelbagaian produk yang ditawarkan di pasaran ini secara tidak langsung memaksa belia untuk sentiasa 'up to date' dengan trend semasa. Walau bagaimanapun, faktor faktor berbelanja akan berbeza bagi memenuhi satu-satu keperluan terutamanya faktor ekonomi. Keterbatasan sumber ekonomi iaitu pendapatan akan menyebabkan pengguna terpaksa menilai dan menentukan keperluan apakah yang perlu dipenuhi terlebih dahulu (Nur Jannah et al. 2018). Kesukaran belia untuk menilai dan menentukan keperluan asas mereka menyebabkan belia sering mengalami masalah kewangan ekoran daripada pengurusan kewangan peribadi yang lemah.
Berbelanja adalah aktiviti yang melibatkan pengeluaran sebahagian daripada pendapatan isi rumah bagi memperoleh dan menggunakan barang dan perkhidmatan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan harian (Nur Jannah et al. 2018). Terdapat beberapa takrifan mengenai kecenderungan masyarakat berbelanja antaranya Zukin dan Maguire (2004) merujuk berbelanja sebagai proses pemilihan barang dan perkhidmatan yang melibatkan aspek sosial, budaya, dan ekonomi, manakala Schiffman et al. (2007) berpendapat ianya adalah tingkahlaku pengguna dalam mencari, dan menilai produk bagi memenuhi keperluan, dan merupakan langkah terakhir bagi memenuhi keperluan peribadi (Kotler & Armstrong 2007). Objektif utama kajian adalah untuk mengenalpasti gaya hidup belia bandar sama ada berjimat, bergaya atau kelangsungan hidup. objektif kajian seterusnya ialah menganalisis perbandingan gaya hidup belia bandar dengan beberapa demografi terpilih.
Ulasan Karya
Di Malaysia, umur merupakan indikator mudah untuk mentafsir pengkelasan penduduk kepada beberapa peringkat umur. Bagi golongan belia, seseorang itu dianggap sudah memasuki kumpulan belia jika berumur antara 15 hingga 40 tahun (Malaysia 1997; Mohd Fauzi 2020). Azizan (2010) pula menyatakan belia berada dalam lingkungan umur 13 hingga 30 tahun dan 15 hingga 65 tahun (Malaysia, 2014). Kementerian Belia dan Sukan (2018) kemudiannya di bawah Dasar Belia Malaysia telah mentakrifkan semula had umur belia bermula 2018 iaitu antara 15 hingga 30 tahun dan mengkategorikan kepada beberapa kumpulan. Untuk menentukan kategori belia, belia dibahagikan kepada tiga peringkat umur iaitu yang pertama, belia awal yang berumur antara 15 hingga 18 tahun iaitu masih berada dalam alam persekolahan. Kedua adalah belia pertengahan yang berumur antara 19 hingga 24 tahun yang sedang mengikuti pengajian tinggi atau sudah mulai masuk ke alam pekerjaan, dan ketiga adalah belia akhir yang berumur antara 25 hingga 30 tahun yang kebanyakannya sudah berada di alam pekerjaan.
Hariaty (2000) melihat proses pertumbuhan sebuah bandar besar yang bersifat dinamik. Oleh yang demikian, sebarang aktiviti yang ingin dilakukan dipusatkan di kawasan bandar. Pertumbuhan penduduk menyebabkan wujud nilai-nilai bandaran yang perlu dihayati oleh masyarakat bandar seperti nilai survival (Muhammad 1993) dan bersaing untuk memperoleh kualiti hidup yang lebih baik (Nooriah & Zakiyah 2018). Walau bagaimanapun, akibat kepelbagaian etnisiti dan gaya hidup di bandar, tidak semua masyarakat bandar menghayati nilai budaya bandar pada tahap yang sama (Flanagan 2010). Hal ini kerana bandar mempunyai kepelbagaian etnisiti dan gaya hidup yang akhirnya akan mewujudkan kumpulan-kumpulan baharu. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa nilai budaya bandar merujuk kepada nilai-nilai seperti survival, mengikuti perkembangan semasa, bersaing, serta berjimat untuk menjamin kelangsungan hidup di bandar.
Nilai-nilai budaya bandar terbentuk berdasarkan ciri-ciri persekitaran kehidupan di kawasan yang bertentangan dengan kehidupan di luar bandar. Secara umumnya, bandar dirujuk sebagai sebuah kawasan yang mempunyai infrastuktur yang lengkap serta badan penguasa atau kerajaan tempatan. Aktiviti utama di bandar terdiri daripada sektor industri, perniagaan, perkhidmatan, dan juga pentadbiran (Muhd Taib 1993). Kepelbagaian aktiviti di bandar menjadikannya sebagai tempat tumpuan untuk mencari pekerjaan, dan peluang-peluang baharu (Abdul Rahman 2011). Perkara ini dibuktikan dengan pergerakan dan perpindahan manusia yang menyebabkan kawasan luar bandar ditranformasikan menjadi bandar, seterusnya mencorakkan kehidupan masyarakat bandar yang pelbagai. Hariaty (2000) melihat proses ini sebagai urbanisasi iaitu, pertumbuhan sebuah bandar besar yang bersifat dinamik.
Seterusnya Oliveira et al. (2020) menyifatkan gaya hidup bandar mempunyai ciri-ciri waktu kerja yang panjang, waktu sibuk dalam kesesakan lalu lintas, rutin hari minggu yang ditetapkan dengan jelas dengan kekurangan masa untuk berdiam diri dan merenung. Gaya hidup bandar juga melibatkan tahap penggunaan keperluan asas yang lebih tinggi (seperti air, makanan dan tenaga berbanding di kawasan luar bandar), corak penggunaan tinggi barangan boleh guna atau berharga didorong sama ada oleh trend sekejap atau oleh keperluan berlebihan (tidak sedar atau tidak peduli) dan kerinduan untuk diiktiraf secara sosial oleh rakan sebaya melalui harta benda dan tabiat sosialisasi (Oliveira et al. 2020).
Masyarakat bandar memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi bagi keperluan makanan dan minuman bukan alkohol dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain berbanding kumpulan pendapatan lain Namun, perbelanjaan bagi pengangkutan, kesihatan dan pendidikan, dan perbelanjaan budi bicara adalah lebih rendah. Mengikut taraf perbandaran, negeri dengan paras perbandaran yang tinggi seperti Kuala Lumpur memperuntukkan perbelanjaan tertinggi bagi keperluan perumahan, air, elektrik, gas, dan bahan api lain dan kurang memperuntukan perbelanjaan bagi keperluan makanan dan minuman bukan alkohol berbanding negeri dengan paras perbandaran sederhana dan rendah (Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2014).
Nielsen (2018) mengkaji trend perbelanjaan Malaysia dengan membandingkannya dengan negara-negara Asia. Berdasarkan kajian yang dilakukan mendapati bahawa pengguna di kawasan asia tenggara merupakan pengguna yang mementingkan penjimatan. Ianya diungguli oleh rakyat Vietnam yang sanggup untuk menyimpan baki wang (71%), diikuti oleh Indonesia (67%), dan Thailand (66%) manakala Malaysia jatuh pada kedudukan ke-10 (61%). Di Malaysia, 42% responden mengatakan bahawa mereka menyimpan wang bagi keperluan melancong manakala 37% yang lain menggunakan wang tersebut untuk menyelesaikan baki hutang atau pinjaman. Perkara kedua yang penting berlainan antara pengguna yang mana pengguna bandar lebih mementingkan keperluan peningkatan diri berbanding pengguna luar bandar yang memilih keperluan fisiologikal. Pengguna bandar lebih sofistikated berbanding pengguna luar bandar kerana mereka lebih gemar berbelanja di kedai yang berjenama dan mempunyai perkhidmatan pelanggan yang baik. Pengguna bandar juga percaya akan barangan yang telah digunakan oleh orang ramai, baharu dan berlainan, dan barangan import, dan mudah terpengaruh dengan barangan yang diiklankan di media massa.
Metod Kajian
Kajian dilaksanakan di bandar Kajang yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Bandar Kajang dipilih kerana ianya menepati ciri-ciri bandar yang dikehendaki oleh kajian dan demografi penduduknya juga memenuhi keperluan kajian (MPKj 2022). Pendekatan kuantitatif menggunakan teknik persampelan bertujuan diaplikasikan dalam kajian ini. Sampel kajian adalah golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun. Justifikasi pemilihan kategori umur ini adalah dengan andaian, mereka sudahpun memasuki alam pekerjaan dan sedang memperbaiki taraf hidup semasa. Hal ini selari dengan Penmann dan McNeil (2008) menyatakan apabila seseorang individu itu meninggalkan rumahnya (yang sebelum ini didiami bersama ibu bapa dan adik-beradik), mereka akan mula membuat keputusan untuk perbelanjaan mereka sendiri, dan keputusan yang dibuat kebiasaannya di luar pengaruh keluarga dan juga tekanan daripada kehidupan bekerja. Kajian hanya mensasarkan 100 sampel berikutan kesukaran melakukan kajian lapangan ekoran daripada wabak Covid-19. Hasilnya seramai 131 responden telah diperolehi dan bilangan ini melebihi jumlah minimum responden yang disarankan oleh Bailey (1987) dan Sabitha (2006). Kutipan data menggunakan borang soal selidik yang diedarkan melalui aplikasi Facebook dan Whatsapp selama satu bulan melalui platform Google Forms. Ujian Cronbach Alpha digunakan bagi menguji konsistensi dalaman soal selidik dan nilai Cronbach Alpha perlu melebihi 0.60 (Chua 2014; Zainuddin 2014). Nilai Cronbach Alpha yang diperolehi adalah gaya hidup berjimat (0.748), gaya hidup bergaya (0.950) dan gaya hidup kelangsungan hidup (0.671). Analisis data secara diskriptif digunakan bagi menjelaskan hasil kajian.
Hasil Kajian dan Perbincangan
Jadual 1 menunjukkan latar belakang responden. Kajian ini melibatkan 131 responden yang terdiri daripada 74.8 peratus perempuan dan selebihnya lelaki. Majoriti daripada responden berumur antara 26 hingga 32 (53.4%), diikuti oleh belia berumur 18 hingga 25 tahun (38.2%) dan belia berumur 33 hingga 40 tahun (8.4%). Status perkahwinan responden terbahagi kepada tiga kategori, iaitu bujang (61.8%), berkahwin (29%) dan ibu/bapa tunggal (9.2%). Rata-rata responden mempunyai tahap pendidikan peringkat ijazah (37.4%), diikuti tahap pendidikan STPM/Diploma (29.8%), SPM (24.4%), ijazah lanjutan (5.3%) dan lain-lain (1.5%). Majoriti responden bekerja dalam sektor swasta (56.5%), diikuti oleh sektor awam (33.6%) dan selebihnya bekerja sendiri. Kebanyakan responden mempunyai anggaran pendapatan bulanan kurang RM 3,855 (75.6%). Selebihnya mempunyai anggaran RM3,856 hingga RM6,095 (15.3%) dan melebihi RM6,096 (9.2%). Hasil kajian turut menunjukkan hanya sebilangan kecil responden mempunyai pendapatan sampingan (16.8%). Rata-rata responden tinggal bersama keluarga nucleus (61.1%), diikuti tinggal bersama rakan (35.1%) dan selebihnya tinggal bersendirian (3.8%).
1. Gaya Hidup Belia Bandar
Bahagian ini membincangkan gaya hidup belia bandar yang dikelaskan kepada tiga kategori, iaitu berjimat, bergaya dan kelangsungan hidup. Perbincangan memberi fokus kepada gaya hidup yang mencatatkan peratus tertinggi bagi setiap pernyataan. Seterusnya perbincangan akan merumuskan dapatan berdasarkan skor kumulatif.
Gaya hidup berjimat
Jadual 2 menunjukkan gaya hidup berjimat belia bandar. Rata-rata responden sangat setuju bahawa mereka akan menyenaraikan barang yang ingin dibeli terlebih dahulu (39.7%). Seterusnya rata-rata responden kurang setuju dengan pernyataan bahawa mereka merancang penggunaan barang secara harian agar bertahan dalam jangka masa yang sepatutnya (44.3%). Untuk pernyataan seterusnya, kebanyakan responden mencatatkan mereka setuju bahawa mereka membandingkan harga sebelum membeli (39.7%), mereka berusaha mengurangkan perbelanjaan untuk satu-satu jenis keperluan (43.5%) dan mereka meneliti dan menilai perbelanjaan pada akhir bulan (45.8%).
Secara keseluruhannya, gaya hidup berjimat responden adalah baik dengan catatan skor kumulatif 3.74. Kesedaran mengenai pentingnya memahami kos sara hidup yang terus meningkat membantu belia bandar untuk membuat penjimatan. Tindakan berjimat ini secara tidak langsung akan memberikan status kewangan yang lebih baik. Untuk berjimat, terdapat pelbagai strategi yang boleh dilakukan antaranya beli apa yang perlu sahaja, membeli belah ketika jualan murah, dan membandingkan harga terlebih dahulu. Abdul Waheed et al. (2014) telah mendapati mereka yang berpendapatan lebih tinggi kebiasaannya mempunyai simpanan yang lebih banyak serta mudah untuk berbelanja ke atas satu-satu barangan.
Gaya hidup bergaya
Jadual 3 menunjukkan gaya hidup bergaya belia bandar. Rata-rata responden kurang setuju bahawa mereka suka mencuba dan memiliki produk baharu yang lebih canggih dan terkini (38.2%). Rata-rata responden juga sangat tidak setuju bahawa mereka akan membelanjakan sebahagian pendapatan untuk membeli barangan yang menjadi trend terkini (39.7%). Seterusnya rata-rata responden kurang setuju dengan pernyataan "Saya peka mengenai trend-trend dan produk terbaharu" (28.2%), "Memiliki gaya yang menarik penting bagi saya (32.1%) dan "Kebiasaannya saya memiliki satu atau lebih produk yang terkini" (32.1%).
Secara keseluruhannya, gaya hidup bergaya responden adalah rendah dengan catatan skor kumulatif 2.71. Hal ini menunjukkan bahawa responden kajian tidak sewenang-wenangnya mengamalkan gaya hidup bergaya. Dapatan ini agak berbeza dengan dapatan terdahulu yang mendapati tingkah laku golongan belia yang berbelanja mengikut kumpulan rujukan yang dipilih sebagai satu cara untuk meningkatkan status sosial (Hanspal 2000; Yeniaras 2016).
Gaya hidup kelangsungan hidup
Jadual 4 menunjukkan gaya hidup kelangsungan hidup belia bandar. Hasil kajian menunjukkan kebanyakan responden setuju bahawa mereka banyak membeli barangan yang berharga murah agar pendapatan saya mencukupi hingga akhir bulan (43.5%). Seterusnya rata-rata responden menunjuk respon kurang terhadap pernyataan "Saya sedia menggantikan produk yang saya guna sekarang kepada produk yang berjenama lebih murah" (38.2%) dan "Saya sanggup pergi ke pasaraya yang menawarkan harga lebih murah walaupun jauh dari kediaman saya" (32.8%). Selain itu, kebanyakan responden setuju bahawa mereka mengasingkan pendapatan mengikut perbelanjaan yang bakal dilakukan (46.6%). Untuk pernyataan terakhir, kebanyakan responden setuju dan sangat setuju bahawa mereka cuba memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan dengan catatan 38.2 peratus dan 37.4 peratus.
Secara keseluruhan, gaya hidup kelangsungan hidup responden adalah baik dengan catatan skor kumulatif 3.66. Dapatan ini menunjukkan responden mempunyai nilai survival yang agak baik. Nilai survival yang tinggi akan mengurangkan jumlah perbelanjaan yang bakal dilakukan. Mempunyai nilai survival yang tinggi akan memudahkan belia bandar memahami dengan lebih baik mengenai kos-kos sebenar yang perlu ditanggung agar kelangsungan hidup di bandar dapat dicapai.
2. Perbandingan Gaya Hidup Belia
Bahagian ini menjelaskan perbezaan gaya hidup belia bandar (berjimat, bergaya, kelangsungan hidup) dengan beberapa demografi terpilih, iaitu gender, umur, status perkahwinan dan pendapatan. Perbezaan tersebut ditunjukkan berdasarkan skor purata gaya hidup belia bandar.
Gaya hidup vs. gender
Rajah 1 menunjukkan gaya hidup belia bandar berdasarkan gender. Kajian mendapati bahawa tidak dapat perbezaan ketara dalam nilai gaya hidup belia mengikut gender. Berdasarkan skor purata dapat dilihat bahawa wanita lebih mengutamakan gaya hidup berjimat (18.75) dan kelangsungan hidup berbanding lelaki (18.60). Seterusnya belia bandar lelaki didapati lebih mengamalkan gaya hidup bergaya (14.66) berbanding wanita (13.16). Dapatan ini selari dengan Toh dan Rusmawati (2018) yang memperlihatkan bahawa lelaki berbelanja tinggi untuk barangan bersifat material. Walau bagaimanapun, dapatan ini bertentangan dengan Cox dan Dittmar (1995) yang menemukan bahawa wanita lebih mengutamakan perbelanjaan bersifat material berbanding lelaki. Sebaliknya kajian mendapati hanya sedikit perbezaan gaya hidup kelangsungan hidup antara lelaki dan wanita yang masing-masing mencatatkan 18.12 dan 18.38.
Gaya hidup vs. umur
Rajah 2 menunjukkan gaya hidup belia bandar berdasarkan kategori umur. Kajian mendapati bahawa belia yang berumur antara 18 hingga 32 tahun lebih mempunyai nilai gaya hidup berjimat yang lebih tinggi (19.0) berbanding belia yang berumur 33 hingga 40 tahun (18.36). Dapatan kajian mendapati bahawa belia yang berumur 18 hingga 25 tahun lebih mementingkan gaya hidup berjimat dalam kehidupan mereka. Hal ini demikian kerana mereka perlu memastikan bahawa pendapatan mereka mencukupi hingga akhir bulan. Seterusnya belia berumur 33 hingga 40 tahun pula merupakan kelompok yang mempunyai nilai gaya hidup bergaya yang terendah (11.81) berbanding kumpulan umur yang lain. Hal ini kerana kelompok umur ini dirasakan lebih mementingkan keperluan asas (seperti kesihatan dan pendidikan) berbanding gaya hidup.
Gaya hidup vs. status perkahwinan
Rajah 3 menunjukkan gaya hidup belia bandar berdasarkan status perkahwinan. Dapatan ini menjelaskan bahawa status perkahwinan turut berperanan dalam menentukan nilai gaya hidup seseorang individu. Kos sara hidup yang tinggi memaksa belia yang sudah berkahwin ataupun berstatus ibu atau bapa tunggal lebih mengutamakan gaya hidup kelangsungan hidup dalam kehidupan mereka. Skor purata gaya hidup kelangsungan hidup adalah lebih tinggi (19.86) berbanding gaya hidup berjimat (18.07) dan gaya hidup bergaya (13.81). Hal ini perlu kerana semakin besar saiz keluarga, maka semakin tinggi nilai gaya hidup kelangsungan hidup yang perlu dipertahankan. Apatah lagi setiap ahli dalam keluarga mempunyai keperluan yang berbeza-beza.
Gaya hidup vs. pendapatan
Rajah 4 menunjukkan gaya hidup belia bandar berdasarkan tahap pendapatan. Kajian mendapati bahawa tiada perbezaan yang ketara antara gaya hidup belia dalam kumpulan B40 dan M40. Belia dalam kumpulan B40 lebih mementingkan nilai 'berjimat' dan 'kelangsungan hidup' dalam gaya hidup mereka. Dapatan ini selari dengan Bank Negara Malaysia dan FOMCA (2017) yang mendapati bahawa tidak banyak perbezaan mengenai tingkat perbelanjaan yang dilakukan berdasarkan jumlah pendapatan yang diterima oleh kedua-dua kumpulan B40 dan M40. Hal ini menunjukkan individu dalam kumpulan B40 dan M40 cenderung berbelanja pada tingkat yang sama dan mempunyai gaya hidup yang tidak mempunyai perbezaan yang ketara walaupun berlainan tingkat pendapatan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, hasil kajian mendapati belia bandar lebih mementingkan gaya hidup berjimat dan gaya hidup kelangsungan hidup yang lebih tinggi berbanding gaya hidup bergaya. Hal ini menunjukkan bahawa belia bandar mempunyai kesedaran yang tinggi dalam aspek pengurusan kewangan yang baik mengikut tahap kemampuan mereka. Bermakna, belia bandar yang berpendapatan rendah beranggapan kecukupan dapat dipenuhi jika mereka melakukan penjimatan, kurang mengikuti barangan yang bersifat semasa, dan mempunyai nilai survival yang tinggi. Dalam kata lain, belia tidak perlu terlalu mengikut peredaran semasa dan membuat pembelian ke atas barangan dan perkhidmatan yang sedang tular. Selain itu, kajian turut menemukan hanya sedikit perbezaan gaya hidup (berjimat, bergaya, kelangsungan hidup) berdasarkan gender, umur, status perkahwinan dan tahap pendapatan.
Ringkasnya, dapatan kajian ini memberikan pencerahan bahawa gaya hidup berjimat memberi kesan terpenting ke atas perbelanjaan belia. Semakin tinggi nilai berjimat dihayati, semakin rendah jumlah perbelanjaan yang bakal dilakukan. Amalan berjimat akan membentuk suatu perbelanjaan yang terkawal di samping mewujudkan lebihan pendapatan bagi tujuan tabungan masa hadapan. Amalan gaya hidup kelangsungan hidup pula menjadi nilai kedua terpenting bagi belia dan ianya memberi kesan ke atas perbelanjaan secara sederhana dalam menghadapi kos sara hidup yang berterusan meningkat. Meskipun dapatan kajian menunjukkan belia bandar kurang mementingkan gaya hidup bergaya, mereka masih perlu peka akan perubahan trend dan teknologi yang berlaku di sekeliling mereka. Perkembangan teknologi dan media massa menyebabkan sesuatu barangan yang ditawarkan di pasaran popular untuk jangka masa pendek. Maka, belia harus sentiasa mengamalkan nilai survival (kelangsungan hidup). Amalan survival akan menjamin keperluan belia bandar dapat dipenuhi dengan lebih baik.
Amalan belia bandar yang mementingkan nilai gaya hidup berjimat dan survival yang lebih tinggi berbanding nilai gaya hidup mengikui trend semasa perlu diteruskan. Ternyata belia bandar mempunyai kesedaran dalam pengurusan kewangan yang baik mengikut tahap pendapatan mereka. Jika situasi ini dapat dipertahan, maka belia bandar akan mempunyai keupayaan menangani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pun begitu, usaha pihak berkuasa dalam menangani isu kenaikan harga barangan asas masih perlu diberi perhatian serius demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Penghargaan: Penghargaan ditujukan kepada Geran FRGS/1/2019/SS08/UKM/02/1 atas pembiayaan penerbitan artikel ini.
Kenyataan Makluman Persetujuan: Persetujuan diperoleh daripada subjek kajian.
Konflik Kepentingan: Pengarang mengisytiharkan tiada konflik kepentingan.
References
Rujukan
Abdul Rahman Embong. (2011). Pembandaran dan kehidupan bandar di semenanjung Malaysia. Akademika, 81(2), 23-39.
Abdul Waheed, Syeda Shawana Mahasan & Moeed Ahmand Sandhu. (2014). Factor that affects consumer buying behavior: An analysis of some selected factors. MiddleEast Journal of Scientific Research, 19(5), 636-641.
Azizan Bahari. (2010). Permasalahan sosial dalam kalangan pelajar: Keperluan kepada kerja sosial dalam pendidikan. Prosiding Seminar Kerja Sosial dalam Pendidikan. 10-11 Mei 2010, Sintok, Universiti Utara Malaysia.
Bailey, K. D. (1987). Methods of Social Research (3rd Edition). New York: The Free Press.
Boone, L. E. & Kurtz, D. L. (2011). Contemporary marketing. USA: South-Western Cengage Learning.
Chua Yan Piaw. (2014). Asas statistikpenyelidikan. Shah Alam: Mc-Graw Hill Education.
Cox, J. & Dittmar, H. (1995). The functions of slothes and clothing (dis) satisfaction: A gender analysis among British students. Journal of Consumer Policy, 18(2/3), 237-47.
Diana-Rose, F. & Zariyawati, M. A. (2015). Factors affecting youth bankruptcy in Malaysia. http://upmsage.upm.edu.my/wp-content/uploads/2017/04/paper2.pdf
Flanagan, W. G. (2010). Urban sociology: Images and structure. UK: Rowman & Littlefield.
Hanspal, Verma & Savita. (2000). Influence of lifestyles on consumers' buying behaviour. Paradigm, 4(2), 52-65.
Hariaty Abu Hassan. (2000). Urbanisasi dan urbanisme. Dlm. Rahimah Abdul Aziz & Mohamed Yusoff Ismail. Masyarakat, budaya danperubahan. Bangi: Penerbit UKM.
Kotler, P. & Armstrong, G. (2007). Principle of marketing. New Jersey: Prentice Hall.
Kotler, P. (2003). Marketing management (11th ed.). New Jersey: Prentice Hall.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). (2022). Portal rasmi Majlis Perbandaran Kajang. https://www.mpkj.gov.my/ms/pelawat/info-kajang.
Malaysia. (1997). Dasarpembangunan belia negara. Putrajaya. https://www.kbs.gov.my/
Malaysia. (2014). Laporan kestabilan kewangan dan sistem pembayaran. http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_publication&pg= bm_fspr &ac=10&lang=bm
Malaysia. (2015). Laporan penyiasatan pendapatan isi rumah dan kemudahan asas 2014. https://www.dosm.gov.my/
Malaysia. (2017). Cabaran kewangan isi rumah miskin bandar. https://www.bnm.gov.my/documents/20124///6270c638-a4e1-f3f6-2e85-f14ebb7641c1/
Malaysia. (2018). Jabatan Insolvensi. Statistik kebankrapan sehingga Disember 2017. http://www.mdi.gov.my/index.php/ms/aboutus/resources/statistics/bankruptcy/1233-bankruptcy-statisti c-december2017
Mohd Fauzi Hj. Fadzil. (2020). Merungkai kembali isu had umur belia di Malaysia. https://belia.org.my/wp/2020/08/21/merungkai-kembali-isu-had-umur-belia-di-malaysia/
Muhammad Haji Muhd Taib. (1993). Melayu Baru. Kuala Lumpur: ITC Book Publisher.
Naz, U. & Lohdi, S. (2016). Impact of customer self concept and life style on luxury goods purchases: A case of females of Karachi. Arabian Journal of Business and ar A Management Review, 6(2), 1-5.
Nielsen. (2018). Malaysia consumer confidence stable in Q4 2017. Atas talian: https://www.nielsen.com
Nooriah Yusof & Zakiyah Jamaluddin. (2018). Kos perbelanjaan perumahan dalam kalangan penduduk kawasan perumahan kos rendah dan sederhana di Pulau Pinang. Akademika, 55(1), 167-179.
Nur Jannah Bukhari, Kim Keum Hyun & Aida Idris. (2018). hubungan antara pendapatan dan perbelanjaan harian bagi golongan belia melayu di Kuala Lumpur. Journal of Social Scinces and Humanities, 13(2), 024-035.
Oliviera, G. M., Vodal, D. G. & Ferraz, M. P. (2020). Urban Lifestyles and Consumption Patterns. Sustainable Cities and Communities, 851-860. London: Springer.
Penmann, S. & McNeil, L.S. (2008). Spending their way to adulthood: Consumption outside the nest. Young Consumer, 9(3), 155-169.
Sabitha Marican. (2006). Penyelidikan sains sosialpendekatanpragmatik. Batu Caves: Penerbit Edusystem Sdn. Bhd.
Schiffman, L., Hansen H. & Kanuk, L. 2007. Consumer behaviour: A European Outlook. London: Pearson Education.
Williams, T. G. (2002). Social class influences on purchase evaluation criteria. Journal of Consumer Marketing, 19(3), 249-276.
Yeniaras, V. (2016). Unpacking the relationship between materialism, status consumption and attitude to debt: The role of Islamic religiosity. Journal of Islamic Marketing, 7(2), 232-247.
Zainudin Awang. (2014). Analyzing the mediating variable in a model. https://doi:10.13140/2.1.4267.2321
Zainudin Awang. (2014). Research methodology and data analysis (2nd Ed.). Selangor: UiTM Press.
Zukin, S. & Maguire, J. S. (2004). Consumers and consumption. Annual Review of Sociology, 30, 173-197.